Thursday, January 30

Pekerjaan Hujung Minggu Pilihan Rakyat Malaysia

Rentetan pengumuman Bajet 2014 pada 25 Oktober 2013 yang lalu, fenomena kenaikan harga berlaku dengan begitu drastik dan menakutkan. Segolongan rakyat tidak merasakan apa-apa kesan namun sebahagian yang lainnya mungkin agak terbeban dengan kesan daripada bajet yang dibentangkan.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia kini lebih berdaya saing dan kreatif dalam mencari pendapatan sampingan. Aktiviti ini yang kebiasaannya dilakukan sewaktu cuti hujung minggu kini menjadi solusi alternatif kepada isu kos sara hidup yang semakin menekan.
Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira jika anda bercadang melakukan kerja sampingan hujung minggu. Antaranya ialah:
  • Pengurusan waktu



Pastikan kerja hujung minggu yang ingin dilakukan itu tidak bercanggah dengan urusan peribadi yang penting seperti waktu bekerja separuh hari (bagi sebahagian kakitangan swasta) serta tahu lokasi pekerjaan agar tidak berlaku pembaziran masa.
  • Buat jadual
Bina jadual pekerjaan sampingan yang telah diterima agar perjalanan kerja hujung minggu lebih sistematik dan dapat memenuhi setiap tawaran yang telah diterima.
  • Ada kemahiran dan pengetahuan dalam pekerjaan yang dilakukan
Buat dan terima tawaran kerja yang anda betul-betul tahu dan ada skil mengenainya. Cara ini menjadikan tugasan tersebut lebih mudah di samping menjaga kredibiliti anda sebagai ‘pekerja bebas hujung minggu’.
Di Malaysia, ada beberapa jenis pekerjaan yang kini menjadi pilihan utama sama ada dijadikan pekerjaan sampingan mahupun pekerjaan utama/tetap. Antara pekerjaan yang semakin berkembang  umpama cendawan tumbuh selepas hujan adalah juru foto perkahwinan, juru andam/solek, pengacara majlis serta servis membersihkan rumah.

Tim Majalah Niaga minggu ini berkongsi informasi tentang pekerjaan-pekerjaan sambilan yang menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. Selain itu, kami turut berkongsi maklumat tentang upah/bayaran yang diterima untuk setiap jenis pekerjaan tersebut.
Juru Foto

 1) Juru foto

Kini, juru foto bukan lagi satu pekerjaan eksklusif individu yang memiliki pendidikan formal dalam bidang tersebut. Kecanggihan gajet kamera di pasaran zaman ini banyak membantu ramai orang mengabadikan momen pegun dengan cantik sekali.
Juru foto menjadi pilihan utama kerja sampingan di hujung minggu. Bidang yang suatu masa dahulu dimonopoli golongan lelaki kini turut dijadikan kerjaya oleh golongan wanita.
Pendapatan seorang juru foto untuk setiap tugasan dibayar mengikut jenis majlis. Secara purata, seorang juru foto majlis perkahwinan dibayar sebanyak RM300 – 500 untuk tugasan merakam gambar.
Tugasan juru foto menjadi kerja hujung minggu pilihan kerana ia tugasan yang menarik dan mudah diurus. Selain itu, skil merakam gambar yang cantik daripada segi sudut, warna dan pencahayaan kini boleh dipelajari melalui Internet sahaja.
Juru Solek

2) Juru Solek

Kerja hujung minggu yang semakin popular termasuklah kerja mengandam atau juru solek. Sebagaimana upah juru foto yang mengikut majlis, begitu juga dengan juru solek. Contoh bayaran untuk solekan seperti berikut:
  • Solekan Majlis Formal: RM80
  • Solekan Pertunangan: RM70-100
  • Solekan Pernikahan: RM150-200
  • Solekan Majlis Resepsi: RM200
  • Solekan Majlis Bertema: RM80 -RM100
Ia sesuai dijadikan kerja hujung minggu memandangkan tugasan menyolek tidak mengambil masa sepanjang hari. Malah, jika tugasan menyolek telah selesai pada sebelah pagi, juru solek boleh meneruskan atau mengambil upah menyolek pelanggan lain pula pada sebelah petangnya.
Wanita memonopoli bidang ini kerana ia dekat dengan jiwa dan hakikat bahawa wanita lebih mahir dan arif tentang selok-belok dunia solekan. Harga yang ditetapkan berdasarkan jenis solekan serta jenis jenama peralatan solekan yang digunakan.
Juru Acara Perkahwinan

3) Juru Acara Majlis

Walaupun tugas mengacara agak mencabar, namun ia tidak lagi dilihat sebagai tugasan yang berat. Asal saja ada usaha mempelajari skil berkomunikasi dan tahu bagaimana mahu menghiburkan tetamu.
Kerja hujung minggu jenis ini sesuai untuk meraka yang memiliki skil dan bakat dalam bercakap, imaginatif, kreatif dan bijak mengendalikan suasana majlis.
Selain menawarkan khidmat sebagai pengacara majlis, ada kalanya mereka menawarkan pakej khidmat PA sistem atau sistem audio untuk majlis tersebut.
Caj yang dikenakan pula berdasarkan pengalaman pengacara tersebut. Secara kasarnya seoarang juru acara majlis kahwin dibayar sebanyak RM70 – 100 untuk satu-satu majlis. Bayaran juga bergantung pada jam atau durasi majlis dan segmen yang perlu diacarakan.
Tukang Rencam

4) Tukang Rencam

Merujuk kamus Dewan, rencam bermaksud terdiri daripada bermacam-macam atau berbagai-bagai. Pekerja rencam atau dalam bahasa Inggerisnya ‘handyman’ merupakan pekerjaan hujung minggu atau sampingan yang popular di negara Eropah.

Job di Rumah 
Di Malaysia tidak kurangnya. Kini, ramai anak muda yang mengambil inisiatif mencari pendapatan lebih dengan melakukan kerja-kerja rencam seperti membaiki paip, membaik pulih kerja-kerja pemasangan elektrik mudah seperti memasang fius, membaik pulih lampu rosak dan lain-lain serta mengambil upah memotong rumput.
Jangan tidak tahu, bahawa tugasan rencam di Malaysia mula dikuasai bangsa asing (Bangladesh, Indonesia) yang bijak merebut peluang. Mereka berkongsi maklumat, pendapatan untuk kerja memotong rumput di laman memberi pulangan RM40-70.
Jika setiap minggu menerima tawaran melakukan kerja-kerja seperti ini, purata RM200-250 dapat diperoleh untuk setiap bulan.
Jika bagi warganegara asing, jumlah itu besar nilainya, boleh dikirim ke kampung untuk perbelanjaan, apatah lagi buat warganegara Malaysia yang sedang dihimpit masalah kenaikan harga barang. RM200 boleh di jadikan wang tabung petrol anda.
Servis Pembersihan Rumah

5) Servis Pembersihan Rumah

Kerja-kerja pembersihan yang ditawarkan adalah mengikut pengkhususan seperti:

Rahsia lulus temuduga kerja kerajaan 
  • Mengelap cermin pintu/tingkap
  • Membersihkan sawang pada siling
  • Membersihkan habuk pada perabot
  • Mengelap kemasan (Jubin, marmar dan lain-lain)
  • Mencuci singki, mangkuk tandas, tempat mandi dan dinding bilik air
  • Mencuci tempat letak kereta
  • Membersihkan karpet/sofa
  • Mengemas di luar rumah (mencuci dan membersihkan kaki lima serta longkang)
  • Membuang sampah, serta mencuci tempat sampah/tong sampah
  • Membersihkan tiang dan anak tangga
  • Mencuci bumbung jenis plastik (awning)
  • Mencuci tembok pagar yang mempunyai dinding (jubin, marmar dan lain-lain)
  • Mengemas bilik tidur (Jika diperlukan)
Upah kasar untuk servis pembersihan di rumah adalah mengikut jam iaitu RM55 untuk khidmat pembersian selama 4 jam.
Krew Program

6) Krew Sambilan Seminar/Program/Kursus

Kerja sampingan ini antara yang paling menarik pandangan peribadi Tim Majalah Niaga. Ia bukan saja memberi faedah dalam bentuk pendapatan, malah jika ijak mengambil kesempatan, ia juga memberi faedah daripada segi ilmu dan pengetahuan.
Sekiranya mahu mencari pendapatan lebih dan dalam masa yang sama mahu memburu ilmu, carilah peluang kerja hujung minggu dengan bertugas sebagai krew atau petugas majlis.
Kini banyak pihak sering menganjurkan konvensyen-konvensyen berskala besar dan memerlukan jumlah petugas yang ramai. Rebut peluang ini dan ambil manfaat daripadanya.
Petugas, krew atau urus setia majlis kebiasaannya menerima habuan tidak kurang daripada RM100 sehari dan bergantung pada tempoh sesuatu majlis itu diadakan.
Peniaga di Laman Jual Beli Online

7) Peniaga di Laman Jual Beli Online

Kerja sampingan ini sudah tidak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut lagi. Ia menjadi pilihan semua peringkat golongan. Remaja seawal usia 12 tahun pun sudah tahu mengeksploitasi Internet untuk mencari pendapatan tambahan.
Walau bagaimanapun, ia bergantung pada produk yang dijual dan juga kaedah pemasaran dan promosi yang digunakan. Produk yang dikategorikan sebagai ‘produk panas’ seperti gajet, alat solek dan makanan kesihatan, barang-barang terpakai mampu memberi pendapatan tambahan yang menyeronokkan.
Pendapatan kasar bergantung pada hasil jualan. Namun, tidak mustahil nilai paling rendah yang mampu diperoleh ialah sebanyak RM50-150 sehari.
Guru Mengaji

8)  Tutor / Guru Tuisyen di Rumah (mata pelajaran di sekolah/mengajar al-Quran)

Kerja sampingan mengajar ini kebiasaannya mendapat permintaan yang memberangsangkan daripada ibu bapa yang berkerjaya dengan status sosioekonomi yang tinggi seta sentiasa mempunyai kekangan masa.
Selain itu, permintaan daripada para ibu bapa yang mahu anak mereka mendapat pengetahuan dan skil yang lebih intensif dan eksklusif di rumah sebagai suplemen kepada aktiviti pelajaran di sekolah.
Secara purata, bayaran yang ditetapkan seorang tutor berdasarkan subjek, tempoh masa mengajar dan juga tahap kecekapan/skil anak-anak tersebut. Bayaran yang dikenakan untuk satu subjek secara purata dari RM40-60.
Begitu juga dengan upah mengajar mengaji. Kerja sampingan ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada anak didik, malah, jika ia dilakukan dengan ikhlas dan tidak berorientasikan wang semata, anda juga dapat ‘untung’ di akhirat sana.
Babysitter

9) Pengasuh Hujung Minggu

Kerja sampingan yang menarik ini juga masih belum di pandang serius masyarakat di Malaysia. Namun, ia mula menjadi pilihan akhir-akhir ini. Di negara-negara Eropah, ramai pelajar kolej atau universiti yang pulang berhujung minggu di rumah ibu bapa masing-masing, akan mengiklankan khidmat mengasuh kanak-kanak untuk hari Sabtu dan Ahad.
Remaja mahupun sebarang golongan umur individu yang tidak terikat dengan tugasan rutin pada hujung minggu bersedia mengambil upah menjaga bayi atau kanak-kanak sepanjang hujung minggu tersebut.
Kadar bayaran yang dikenakan untuk kerja mengasuh ialah mengikut hari iaitu antara RM35-40 sehari. Selain itu, bayaran tambahan akan dikenakan sekiranya ibu bapa bayi/kanak-kanak meminta melakukan kerja sampingan lain seperti memasak mahupun membawa anak ke taman permainan.
Kerja Hujung Minggu
Kerja sampingan atau menjalankan perniagaan di hujung minggu membawa banyak kebaikan kepada seseorang apatah lagi ketika ‘suhu’ panas ekonomi sedang melanda negara ini.
Kos hidup serta kos barangan keperluan yang meningkat secara mendadak mungkin saja pemangkin yang baik buat sebahagian daripada kita untuk memikirkan cara lain memperoleh pendapatan lebih.
Daripada satu sudut, keadaan ekonomi yang ‘kucar-kacir’ perlu diredakan oleh pemimpin dan barisan menteri yang berkenaan. Namun, sebagai manusia yang di beri akal oleh Allah, usaha dan berfikir mencari solusi adalah sebaik-baik respon kepada situasi ekonomi negara kini.
Oleh itu, bersama kita bangun dan jadi individu yang produktif serta bijak memanfaatkan setiap peluang yang ada. Terlalu banyak mengeluh dan bersifat menyalahkan ketika berada dalam situasi sukar tidak membantu ke arah kebaikan. Banyak peluang di luar sana menanti untuk diraih oleh anda!
Selamat berhujung minggu dari Tim Majalah Niaga! Jadikan hujung minggu anda kali ini yang paling produktif dan berfaedah.
Sumber Asal ---> SINI

Anda juga mungkin berminat dengan Top 6 web site kerja part time

Share This!


No comments:

Post a Comment

Powered By Blogger · Designed By Seo Blogger Templates